Skip to main content

AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah 

As Sunnah berasal dari Bahasa Arab seerti dengan At-Thoriqah (jalan) ertinya kaedah, kebiasaan, perjalanan hidup atau perilaku, baik terpuji mahu pun tercela. Ini berdasarkan hadis:

عَنْ جَرِيرٍ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه قال: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِها بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرٍ مَنْ عَمِلَ بها ، ولا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ . وَمَنْ سَن فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعْمِلَ بِها بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وزر مَنْ عَمِلَ بها ، ولا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ رواه مسلم

Barangsiapa merintis suatu sunnah yang baik dalam Islam maka dia mendapat pahala amalan itu ditambah dengan pahala orang-orang yang mengamalkan setelahnya, tanpa mengurangi pahala orang yang mengikutinya sedikitpun HR : 1016

   Jamaah berasal daripada Al Jamaah iaitu berkumpul atau bersatu yang lawan katanya Al Firqah (berpecah-belah). Ibnu Taimiyah menjelaskan Al Jamaah bererti persatuan, sedangkan lawan katanya adalah perpecahan. Lafaz Al Jamaah telah menjadi nama bagi kaum yang bersatu. Jika lafaz Jamaah dirungkaikan dengan As-Sunnah menjadi Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka yang dimaksudkan ialah pendahulu umat ini, mereka adalah para sahabat dan tabi’in yang bersatu mengikuti kebenaran yang jelas daripada kitab Allah dan Sunnah RasulNya.

  Sesetengah ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan Al-Jamaah ialah para sahabat sahaja dan bukan orang-orang sesudah generasi mereka. Kerana para sahabat itulah yang sesungguhnya telah menegakkan tunggak-tunggak agama dan menegakkan asas-asasnya. Pendapat ini diriwayatkan daripada Umar Bin Abdul Aziz r.a. Menurut pendapat ini lafaz Al-Jamaah sesuai dengan riwayat lain dalam hadis nabi yang bermaksud “jalan yang aku tempuh dan para sahabatku”.

  Ada ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan Al-Jamaah itu adalah Jamaah kaum Muslimin yang sepakat atas seorang pemimpin. Ini adalah pendapat At-Thobari yang menyebutkan pendapat-pendapat terdahulu. Kemudian dia mengatakan: Memang benar, pengertian tentang beriltizam kepada Jamaah ialah taat dan bersepakat atas pimpinannya. Maka barangsiapa melanggar bai’ahnnya dia telah keluar daripada Al-Jamaah.

  Menurut At-Thobari juga jika Jamaah itu telah sepakat dengan redha untuk mengangkat seorang pemimpin, sedangkan orang yang menentangnya mati dalam keadaan jahiliah, maka itu Al-Jamaah yang digambarkan Abu Mas’ud Al-Ansari. Menurut pendapat ini Al-Jamaah ialah kesepakatan atas pemimpin yang sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah. Adapun kesepakatan yang menyalahi sunnah bererti telah keluar dari makna Al-Jamaah yang disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.

  Kesimpulannya, daripada huraian dan hadis-hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa yang dimaksudkan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah ajaran dan amalan yang berasal daripada Nabi SAW dan para sahabatnya sebagaimana yang ternyata daripada hadis yang menyebut umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, yang selamat hanya satu, iaitu mereka yang dipanggil sebagai jemaah yang selamat dan benar, yang berpegang kepada dasar hidup nabi dan para sahabatnya, mereka itulah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  Dasar dan amalan inilah yang kemudiannya berkembang di kalangan para ulama Ahli Sunnah dalam pelbagai disiplin ilmu, yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh dalam bidang tafsir Quran, qiraat, hadis dan cawangan-cawagannya, usul al-din, fiqah, usul al-fiqah, akhlak dan tasawwuf, termasuk falsafahnya, demikian seterusnya dengan pelbagai cawangan dan disiplin ilmu.

Penulis
Hj Jainal Sakiban Al-Jauhari

TAJUK
Siapa Ahli Sunnah Wal Jamaah 

Persoalan mengenai fahaman yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengamalkan mazhab Syafie’ tidak pernah menemui noktah sejak dulu hingga ke hari ini. Sebaik sahaja satu-satu fahaman itu dapat diatasi daripada merebak kepada masyarakat Islam, muncul pula fahaman baru, begitulah yang berlaku di negara kita termasuk di negeri Johor yang mungkin akan terus berlaku hingga ke hari kiamat.

  Kini setelah beberapa tahun fahaman yang bercanggah dengan Mazhab Syafie’ mereda, kini terdapat satu fahaman yang telah ditolak oleh Mufti Johor pada tahun 50-an dulu muncul semula dengan segala variasinya. Malaysia merupakan sebuah negara yang berpegang teguh kepada aliran dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam akidah ia mengikut mazhab Imam Abu Hassan Asy’ari dan Imam Abu Mansor Al-Maturidi. Dalam Fiqah ia mengikut mazhab Syafie’ dengan tambahan-tambahan yang diperlukan berdasarkan keputusan-keputusan fatwa mengikut kaedah yang wajar dalam Ahli Sunnah.

  Ulil-amri menurut Dr.Uthman al-Muhammady wajib menjaga agama dan perlaksanaannya serta kefahamannya pada orang ramai mengikut landasan-landasannya yang asal dan benar tanpa penyelewengan sama ada dalam bentuk lama atau baru. Antaranya adalah Mu’tazilah, Qadariah, Jabariah, Batiniah dan yang sepertinya dalam bentuk baru seperti Mu’tazilah fesyen baru, atau Khawarij fesyen baru, atau Batiniah fesyen baru yang menggunakan nama-nama atau istilah-istilah yang menarik tetapi mengandungi ‘racun’ di dalamnya.

  Menurut Dr.Uthman al-Muhammady lagi, apa yang dimaksudkan dengan pemahaman arus perdana dalam Islam itu ialah fahaman, pegangan dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu perkara di dalamnya, intinya melibatkan faham ilmu, atau “epistemology” yang bermaksud falsafah ilmu, teori tentang ilmu pengetahuan, keadaannya, dasar-dasarnya, batasan-batasannya dan kesahihannya.


Penulis
Hj Jainal Sakiban Al-Jauhari

TAJUK