PENGHAYATAN KEMERDEKAAN DAN PATRIOTISME BAGI GENERASI MUDA
Siti Shamsiah binti Md Supi
Ketika artikel ini ditulis, perayaan Hari Kemerdekaan ke-65 sudah dua minggu melabuhkan tirainya. Bahangnya masih dapat dirasakan sementelah Jalur Gemilang dan bendera-bendera negeri masih berkibar di kebanyakan bangunan. Bendera-bendera ini akan terus berkibar megah sementara menghitung hari untuk menyambut ulang tahun Hari Malaysia yang ke-59 pada 16 September nanti.
Berdasarkan tinjauan penulis terhadap reaksi dan maklum balas masyarakat awam atau warga maya di media sosial, rata-ratanya menganggap sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini sebagai sambutan yang paling meriah, mampu menaikkan semangat patriotik, mesra rakyat dan puas untuk ditonton sama ada di tempat peristiwa itu dilangsungkan, mahupun di kaca televisyen atau di skrin gajet kerana program secara langsung itu boleh dilayari melalui internet. Kemeriahan yang dirasakan itu barangkali kerana sebelum ini kita dikenakan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia pada tahun 2020 dan 2021 yang menyebabkan kerajaan membekukan program-program yang melibatkan perhimpunan ramai orang.
Program-program yang bersifat patriotik seperti sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Malaysia sememangnya perlu diadakan pada setiap tahun atau secara berkala bagi mengingatkan setiap individu yang hidup di bawah langit bumi bertuah ini bahawa kebebasan atau kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini ada harganya. Kebebasan ini bukan hanya memerlukan wang ringgit, bahkan juga darah dan air mata yang tidak sedikit.
Persoalan yang penulis ingin timbulkan di sini ialah, adakah generasi muda pada hari ini mampu untuk meletakkan diri dan emosi mereka di tempat datuk serta nenek moyang kita yang gigih berjuang bagi mencapai kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini? Tambahan lagi untuk merasakan tahap kesusahan dan penderitaan kehidupan tanpa kemerdekaan yang diiktiraf oleh dunia? Persoalan yang ditimbulkan ini adalah tanpa menafikan bahawa kehidupan pada zaman milenium ini juga sarat dengan cabaran hebat.
Sebenarnya rasa empati terhadap perjuangan mereka yang terdahulu berbanding kita amatlah penting untuk membina patriotisme dalam diri dan jiwa kita, walaupun adalah lumrah untuk mana-mana generasi muda perlahan-lahan melupakan jerih-perih pengorbanan dan pengalaman getir generasi sebelumnya. Patriotisme yang ada dalam jiwa akan menjadikan anak bangsa mampu untuk menghargai kemerdekaan yang dinikmati; dan akan memiliki sifat pelindung (protective) terhadap negaranya selain menjadi rakyat yang taat setia.
Memahami perjuangan mereka yang terdahulu bermaksud kita perlu belajar dan membaca sejarah bangsa sendiri, serta menghayatinya. Cuma cabarannya pada hari ini adalah mendapatkan sumber sejarah yang sahih, kerana terdapat banyak maklumat yang amat mudah didapati di internet tetapi maklumat yang berwibawa sukar untuk ditemui. Oleh yang demikian, mencari sumber yang sahih itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab warganegara terhadap negaranya. Sehubungan dengan perkara ini pandangan dan persepsi individu terhadap negara dan bangsanya sendiri adalah bergantung pada dapatan serta kutipan fakta terhadap sejarah yang dibaca.
Sejarah merupakan latar belakang kepada Perlembagaan sesebuah negara, dan juga latar belakang kepada penggubalan undang-undang lain yang diperlukan oleh rakyat dan masyarakat bagi menyusun dan menjadikan mereka hidup dalam keadaan yang bersistem, teratur, selamat dan dilindungi. Dalam konteks negara kita nan tercinta, kita akan memahami keunikan-keunikan tertentu yang terkandung dalam Perlembagaan negara kerana negara ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Selain daripada itu kita juga akan mempunyai pandangan yang adil terhadap “kontrak sosial” iaitu persetujuan-persetujuan yang dibuat sebelum penggubalan Perlembagaan.
Pemahaman sebegini amat penting bagi mengelakkan wujudnya warganegara yang simplistik terhadap Perlembagaan atau undang-undang negaranya sendiri, kerana perkara ini pernah dan sedang berlaku. Contohnya mempertikaikan tentang kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan. Kita tidak mahu perkara-perkara yang tidak sihat berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Jika tidak dibendung atau dirawat, ia boleh menjadi polemik dan konflik yang serius sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Persoalan yang seterusnya adalah, apakah pendekatan terbaik untuk mengekalkan momentum jiwa perkasa yang sentiasa mencintai tanah airnya, terutama dalam kalangan generasi muda?
Semangat patriotisme sudah tentu bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang walaupun kita tidak menafikan ia merupakan manifestasi paling mudah, ringkas dan bermakna. Sebenarnya banyak saluran, pendekatan atau tindakan bagi generasi muda memiliki atau menzahirkan kecintaan yang tinggi terhadap tanah air. Kembali kepada sejarah dengan menelaah buku, kitab, laporan, rekod-rekod lama yang berwibawa adalah tindakan asas yang boleh diambil.
Menggunakan seni dan budaya juga boleh diusahakan untuk memupuk patriotisme dalam diri. Filem “Mat Kilau” adalah antara contoh usaha yang amat berjaya bagi masyarakat “pulang” kepada sejarah dalam memperlihatkan kejelikan sikap pihak penjajah.
Generasi muda pada hari ini merupakan peneroka sains dan teknologi masa kini. Sudah tentu pelbagai kreativiti boleh dihasilkan dengan memanfaatkan prasarana dan kecanggihan teknologi bagi mengekalkan momentum rasa kecintaan terhadap negara.
Mentafsirkan kecintaan kepada negara dalam konsep yang lebih luas antaranya menolak rasuah, mementingkan integriti dan amanah dalam menjalankan tugas tadbir urus dan seumpamanya adalah tafsiran yang sebenarnya amat boleh diterima. Oleh sebab sesebuah negara itu akan kekal berdaulat apabila ia aman daripada gejala rasuah. Begitu juga dengan mengambil bahagian (mengundi) dalam pilihan raya. Mengundi adalah meraikan sistem demokrasi yang sudah dipilih untuk diamalkan oleh negara kita dan melaluinya nasib dan masa depan akan ditentukan. Begitulah manifestasi patriotisme dalam menghayati kemerdekaan yang dinikmati dalam kalangan generasi muda.
Penulis merupakan Felo Pelawat Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).