Bengkel Pemurnian Silibus Program Eksekutif Imam ProfesionalTM (PEIP)
Editor: Pn Siti Nur Akmal bt Nor Rizan
Suatu Bengkel Pemurnian Silibus Program Eksekutif Imam ProfesionalTM telah dilaksanakan pada 22 hingga 24 September 2022 yang lalu melibatkan staf Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) dan empat orang pensyarah dari Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) yang mana kesemuanya merupakan pengajar bagi PEIP Kohort 4.
Bengkel anjuran iSWAJ ini merupakan salah satu usaha Penyelaras PEIP, Dr. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong bersama-sama pembantu penyelaras dan urusetia PEIP bagi menyemak kembali silibus, penilaian markah serta membincang kembali format tugasan serta rubrik yang bersesuai dengan program ini. PEIP yang mana pada asalnya merupakan program berbentuk diploma telah digantikan sebagai program berbentuk sijil berikutan arahan daripada Malaysian Qualification Agency (MQA) yang tidak membenarkan penawaran diploma dengan nama eksekutif tanpa pengiktirafan MQA.
Bengkel yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di ibis Styles, Iskandar Puteri, Johor ini telah digunakan dengan sebaik mungkin oleh para pengajar bagi menambahbaik proses pengajaran dan pembelajaran serta mempertingkatkan mutu silibus PEIP. Selain itu, melalui bengkel ini juga, penyelaras program serta pembantu penyelaras dan para pensyarah setiap subjek dapat berkongsi pelbagai cabaran dan isu-isu yang timbul di antara para pengajar, para pelajar dan topik-topik pembelajaran di dalam silibus sepanjang pengajian bagi Kohort 1, 2 dan 3 bersama penyelaras program dan urusetia. Berdasarkan kepada perkongsian maklumat ini, pihak iSWAJ dapat mengenalpasti beberapa isu berkaitan dan berusaha bersama-sama para pensyarah mencari solusi terbaik yang dapat digunapakai buat kedua-dua pengajar dan pelajar dan seterusnya menambahbaik modul-modul silibus dan memurnikan silibus terbaru.
“Adalah menjadi harapan pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Lembaga Pengarah Universiti, agar PEIP menjadi satu program antarabangsa yang mana penyertaannya bukan sahaja dari Malaysia, bahkan dari umat islam negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei, Kemboja dan lain-lain”
Diharapkan penambahbaikan serta pemurnian silibus PEIP ini diharap dapat digunapakai kepada modular-modular akan datang supaya program ini dapat dilaksanakan mengikut piawaian yang betul dan bersesuaian dengan status program yang terkini.